CARA MEMBUAT LABU
SAYONG
PENGENALAN LABU SAYONG
Kegiatan
perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula
dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa
tempat di Semenanjung Malaysia . Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang
diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan
serta dibakar untuk menghasilkan satu rupa bentuk yang sungguh berseni dan
unik. Tembikar yang di bakar didalam tanur adalah lebih kuat dan kalis air.
Tembikar yang
dikenali dengan nama Labu Sayong adalah berwarna hitam dan banyak terdapat di
Sayong , daerah Kuala Kangsar Perak. Mengikut sejarah Labu Sayong pada masa
dahulu, wujudnya labu hitam ini daripada sebuah labu tua yang di keluarkan
isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Pada masa dahulu,
labu hitam merupakan peralatan penting untuk menjadi tempat simpanan air
terutama di majlis-majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini adalah air
menjadi sejuk dan dipercayai boleh menjadi penawar beberapa penyakit seperti
batuk dan demam panas. Ai juga menjadi bekas air mawar semasa menziarahi tanah
perkuburan.
Labu Sayong menekankan sifat
semulajadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak
permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk
rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.Labu
Sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana penggunaannya
semata-mata tetapi kerana keindahannya, berasaskan nilai estetika barangan
tembikar itu.
Peralatan yang digunakan dalam
membuat Labu Sayong.
Antara peralatan
yang digunakan untuk membuat labu sayong adalah penepek , sudip , pengukir ,
batu lucu,licin , dan pinggan ayan/piring capah. Penepek merupakan
sebatang kayu yang digunakan untuk memampat tanah dan labu yang masih basah
agar menjadi bentuk yang kita inginkan. Sudip pula merupakan sebatang
buluh nipis dan runcing digunakan untuk mengerat lebihan tanah. Pengukir
merupakan sebatang kayu yang mempunyai ukiran motif pada kedua-dua bahagian
hujungnya dan digunakan untuk menerap hiasan pada labu tersebut. Permukaan labu
di licinkan dengan menggunakan batu lucu/licin manakala pinggan ayan/
piring capah digunakan sebagai roda pemutar semasa proses menghasilkan
tembikar.
CARA MEMBUAT LABU SAYONG
Aliran kerja
membentuk sebiji labu sayong dibuat dengan cara berperingkat-peringkat iaitu
menyediakan tanah. Kerja-kerja membuat labu sayong bermula dengan pemilihan
tanah. Tanah liat yang lembut diambil daripada tebing-tebing sungai, perdu
pokok atau busut. Tanah ini kemudiannya dijemur sehingga kering, membentuk,
menghias dan akhirnya membakar.
Proses menyediakan
tanah ini adalah proses pertama untuk membuat labu sayong. Tanah yang dipilih
kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki. Selepas itu tanah diayak dan
ditapis untuk mengasingkan sampah dan batu-batu kecil yang terdapat dalam tanah
tersebut. Selepas tanah tersebut bersih maka proses menguli tanah dilakukan
supaya tanah menjadi padat dan bebas daripada gelembong udara. Proses menguli
tanah ini perlukan ketelitian. Tanah tersebut dibentuk menjadi silinder supaya
memudahkan proses berikutnya.
Proses seterusnya
adalah membentuk tanah. Proses membentuk adalah sangat tersangat penting dalam
menghasilkan labu sayong kerana teknik ini yang akan menetukan keindahan dan
kekuatan labu. Ibu jari telunjuk turut berperanan penting dalam membentuk
permukaan labu yang masih separuh kering. Tanah yang berbentuk selinder akan
dilingkarkan agar menjadi satu bulatan dan diletakkan di atas pinggan.
Lingkaran tanah
yang bulat akan dipicit sambil memusingkan pinggan. Proses picitan ini
bertujuan untuk menaikkan tanah agar terbentuk badan, leher, kepala dan muncung
labu. Sudip buluh digunakan untuk melurut permukaan labu supaya kelihatan rata
dan licin. Penepek digunakan untuk memanpatkan badan labu. Selepas badan labu
terbentuk, tanah liat yang telah dileperkan dicantumkan bagi menutup bahagian
yang terbuka. Tanah liat leper digunakan untuk menjadi bahagian tapak labu.
Apabila labu sudah
pun siap, ia dilicinkan dengan sudip buluh dan digilap dengan menggunakan batu
luru. Labu kemudiaanya dibiarkan kering selama tiga jam sebelum dihiaskan
dengan motif. Motif ukiran labu dihasilkan dengan menekan hujung kayu yang berukir
pada permukaan labu yang masih lembut. Setelah labu tersebut diukir, ianya
dikeringkan sekali lagi sebelum dibakar.
Proses membakar
terbahagi kepada tiga iaitu menyalai, membakar dan menyepuh. Ianya disalai
dengan asap terlebih dahulu sebelum dibakar. Labu tersebut disalai di atas bara
buluh dan pelepah kelapa. Kedua-dua jenis bahan tersebut digunakan kerana
apinya tidak cepat merebak dan tidak cepat memakan bahan. Labu tidak pula
diletakkan terlalu rendah dan bahang api tidak terlalu panas. Keadaan
demikian mengelakkan labu daripada retak atau meletup kerana kandungan air
masih ada. Proses pembakaran mengambil masa selama 6 jam.
Untuk menghitamkan labu, labu
yang masih panas ditimbus
dengan sekam padi
selama lebih kurang 10 minit. Kemudian tapak labu disapu
dengan damar untuk menghalang air dari meresap keluar.
Kemudian tersedialah labu yang sudah dibentuk. Labu yang dihasilkan
adalah bewarna hitam dan kemerah-merahan. Warna ini terjadi bukanlah
disebabkan oleh cat atau pewarna yang lain tetapi disebabkan oleh proses
pembakaran dan juga sekam padi yang ditimbus keatas labu yang telah
menjalani proses pembakaran. Labu tersebut dibersihkan terlebih dahulu sebelum
digunakan.
RUJUKAN
Siti Zainon Ismail. 1986. Rekabentuk kraftangan
Melayu tradisi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Fauzi Mohd Noor. 2009. Labu Hitam Sayong
dan Seramik Maju : pemangkin kelestarian kehidupan masyarakat.
Zainul Abidin Hassan & Azmi Zakaria. 1988.
The cooling of water in a Malaysian earthen water jug : Kuala Lumpur
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia . 1994 .
Labu Sayong.
http://www.scribd.com/doc/38995277/Folio-Seni-tembikar