Tuesday, 28 May 2013

LABU SAYONG

CARA MEMBUAT LABU SAYONG

PENGENALAN LABU SAYONG
Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia . Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untuk menghasilkan satu rupa bentuk yang sungguh berseni dan unik. Tembikar yang di bakar didalam tanur adalah lebih kuat dan kalis air.
Tembikar yang dikenali dengan nama Labu Sayong adalah berwarna hitam dan banyak terdapat di Sayong , daerah Kuala Kangsar Perak. Mengikut sejarah Labu Sayong pada masa dahulu, wujudnya labu hitam ini daripada sebuah labu tua yang di keluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Pada masa dahulu, labu hitam merupakan peralatan penting untuk menjadi tempat simpanan air terutama di majlis-majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini adalah air menjadi sejuk dan dipercayai boleh menjadi penawar beberapa penyakit seperti batuk dan demam panas. Ai juga menjadi bekas air mawar semasa menziarahi tanah perkuburan.
Labu Sayong menekankan sifat semulajadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.Labu Sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana penggunaannya semata-mata tetapi kerana keindahannya, berasaskan nilai estetika barangan tembikar itu.

Peralatan yang digunakan dalam membuat Labu Sayong.
Antara peralatan yang digunakan untuk membuat labu sayong adalah penepek , sudip , pengukir , batu lucu,licin , dan pinggan ayan/piring capah. Penepek merupakan sebatang kayu yang digunakan untuk memampat tanah dan labu yang masih basah agar menjadi bentuk yang kita inginkan. Sudip pula merupakan sebatang buluh nipis dan runcing digunakan untuk mengerat lebihan tanah. Pengukir merupakan sebatang kayu yang mempunyai ukiran motif pada kedua-dua bahagian hujungnya dan digunakan untuk menerap hiasan pada labu tersebut. Permukaan labu di licinkan dengan menggunakan batu lucu/licin manakala pinggan ayan/ piring capah digunakan sebagai roda pemutar semasa proses menghasilkan tembikar.


CARA MEMBUAT LABU SAYONG

Aliran kerja membentuk sebiji labu sayong dibuat dengan cara berperingkat-peringkat iaitu menyediakan tanah. Kerja-kerja membuat labu sayong bermula dengan pemilihan tanah. Tanah liat yang lembut diambil daripada tebing-tebing sungai, perdu pokok atau busut. Tanah ini kemudiannya dijemur sehingga kering, membentuk, menghias dan akhirnya membakar.
Proses menyediakan tanah ini adalah proses pertama untuk membuat labu sayong. Tanah yang dipilih kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki. Selepas itu tanah diayak dan ditapis untuk mengasingkan sampah dan batu-batu kecil yang terdapat dalam tanah tersebut. Selepas tanah tersebut bersih maka proses menguli tanah dilakukan supaya tanah menjadi padat dan bebas daripada gelembong udara. Proses menguli tanah ini perlukan ketelitian. Tanah tersebut dibentuk menjadi silinder supaya memudahkan proses berikutnya.
Proses seterusnya adalah membentuk tanah. Proses membentuk adalah sangat tersangat penting dalam menghasilkan labu sayong kerana teknik ini yang akan menetukan keindahan dan kekuatan labu. Ibu jari telunjuk turut berperanan penting dalam membentuk permukaan labu yang masih separuh kering. Tanah yang berbentuk selinder akan dilingkarkan agar menjadi satu bulatan dan diletakkan di atas pinggan.
Lingkaran tanah yang bulat akan dipicit sambil memusingkan pinggan. Proses picitan ini bertujuan untuk menaikkan tanah agar terbentuk badan, leher, kepala dan muncung labu. Sudip buluh digunakan untuk melurut permukaan labu supaya kelihatan rata dan licin. Penepek digunakan untuk memanpatkan badan labu. Selepas badan labu terbentuk, tanah liat yang telah dileperkan dicantumkan bagi menutup bahagian yang terbuka. Tanah liat leper digunakan untuk menjadi bahagian tapak labu.
Apabila labu sudah pun siap, ia dilicinkan dengan sudip buluh dan digilap dengan menggunakan batu luru. Labu kemudiaanya dibiarkan kering selama tiga jam sebelum dihiaskan dengan motif. Motif ukiran labu dihasilkan dengan menekan hujung kayu yang berukir pada permukaan labu yang masih lembut. Setelah labu tersebut diukir, ianya dikeringkan sekali lagi sebelum dibakar.
Proses membakar terbahagi kepada tiga iaitu menyalai, membakar dan menyepuh. Ianya disalai dengan asap terlebih dahulu sebelum dibakar. Labu tersebut disalai di atas bara buluh dan pelepah kelapa. Kedua-dua jenis bahan tersebut digunakan kerana apinya tidak cepat merebak dan tidak cepat memakan bahan. Labu tidak pula diletakkan terlalu rendah dan bahang api tidak terlalu panas. Keadaan demikian mengelakkan labu daripada retak atau meletup kerana kandungan air masih ada. Proses pembakaran mengambil masa selama 6 jam.
Untuk  menghitamkan  labu,  labu  yang  masih  panas  ditimbus  dengan  sekam  padi  selama  lebih kurang 10 minit.  Kemudian  tapak  labu  disapu  dengan damar untuk menghalang air dari meresap keluar. Kemudian tersedialah labu yang sudah dibentuk. Labu yang dihasilkan adalah bewarna hitam dan kemerah-merahan. Warna ini terjadi bukanlah disebabkan oleh cat atau pewarna yang lain tetapi disebabkan oleh proses pembakaran dan juga sekam padi yang ditimbus keatas labu yang telah menjalani proses pembakaran. Labu tersebut dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan.


RUJUKAN
Siti Zainon Ismail. 1986. Rekabentuk kraftangan Melayu tradisi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Fauzi Mohd Noor. 2009. Labu Hitam Sayong dan Seramik Maju : pemangkin kelestarian kehidupan masyarakat.
Zainul Abidin Hassan & Azmi Zakaria. 1988. The cooling of water in a Malaysian earthen water jug : Kuala Lumpur
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia . 1994 . Labu Sayong.
http://www.scribd.com/doc/38995277/Folio-Seni-tembikar